Friday, June 29, 2007

80 Sertai Kursus Sembelihan BKUM-Jawi


Dalam kehidupan hari ini, kita tidak boleh lari daripada menikmati hidangan ayam dan lembu. Kebanyakannya makanan tersebut adalah yang dibeli di pasar-pasar kerana majoriti kita kesuntukan masa untuk menyembelih ayam atau lembu sendiri untuk dimakan.

Sudah semestinya bagi umat Islam, kita perlu sensitif dalam bab halal haram terutama dalam memastikan bahan makanan khususnya ayam disembelih mengikut syarak.

Menyedari hakikat itu, Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) menganjurkan kursus sembelihan mengikut syarak di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kursus setengah hari yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 80 kakitangan menyertainya.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali. Turut hadir sebagai peserta ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Nasir Ali dan Yang Dipertua BKUM, Kamsari Noor.

Kursus dibahagikan kepada dua segmen iaitu ceramah bertajuk Penyembelihan Mengikut Syarak oleh Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jawi, Abdul Nasir Ahmad dan Penyembelihan Dari Segi Kesihatan oleh Pegawai Jabatan Haiwan Shah Alam, Abdul Manaf Ahmad.

Pada sebelah tengah hari, para peserta melakukan amali penyembelihan dengan diselia oleh 10 penyembelih bertauliah Jawi.

Pengarah projek, Sulma Abdullah berkata, kursus itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada kakitangan Utusan tentang cara menyembelih dan mengenal pasti ayam yang disembelih mengikut syarak.

Katanya, hal ini penting untuk mengelak umat Islam daripada terbeli dan termakan ayam dalam kategori bangkai.

“BKUM merakamkan penghargaan kepada Jawi yang menaja seekor lembu dan 100 ekor ayam untuk disembelih pada kursus ini.

“Jawi turut menyumbang nota kuliah, kemeja T, sarapan pagi dan makan tengah hari,” katanya.

Lembu yang disembelih diproses secara bergotong-royong oleh para peserta dan kakitangan wanita untuk hidangan sempena majlis doa selamat 68 tahun Utusan.


[Disiarkan : 29 Jun 2007]

Thursday, June 28, 2007

Faktor Rohaniah Yang Memancar Amal

Oleh DR. SIDEK BABA

Berbicara mengenai faktor rohaniah akan mengaitkannya dengan faktor dalaman diri manusia. Ia dikaitkan dengan hati dan kalbu serta dihubungkan dengan akidah, iman dan takwa.

Al-Quran memberikan makna iman itu dikaitkan dengan amal soleh, manakala akidah itu dihubungkan dengan Allah sebagai Yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.

Manusia menurut al-Quran diletakkan sebagai Hamba dan Khalifah. Jiwa kehambaan yang membawa jiwa rukuk dan sujud membayangkan rasa kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran manusia terhadap Allah dan peranan manusia sebagai khalifah.

Pedoman Allah iaitu al-Quran dijadikan sumber pertunjuk untuk memilih jalan yang betul atau jalan yang salah, perkara yang hak dan perkara yang batil supaya manusia hidup dalam reda-Nya.

Ayat-ayat Allah yang menyerapi akal dan kalbu menyebabkan manusia terbangun fikir, akhlak dan peribadinya. Contoh akhlak al-Quran (khuluq al-Quran) yang ada pada Rasulullah s.a.w. dan risalah al-Quran yang memberi pertunjuk dan pedoman menyebabkan akidah tauhid mantap dan risalah kehidupan menjadi teguh dan jalan kemanusiaan menjadi utuh.

Oleh itu, faktor rohaniah yang membangun diri insan berkait rapat dengan faktor akhlak dan amal manusia. Manusia yang mempunyai kekuatan rohaniah atau kekuatan dalaman melakukan sesuatu berpandukan nilai-nilai yang baik dan fitrah seperti yang dianjurkan oleh al-Quran.

Para remaja harus memahami hakikat beragama bermakna mempunyai keyakinan dan amalan. Agama tidak hanya di lihat kepada prinsip, pedoman dan batas syariah yang diberikan tetapi ia terpancar dalam amal hidup manusia. Agama juga tidak terletak pada upaya berfikir yang tinggi tetapi upaya amalnya rendah.

Nilai amanah, jujur, ikhlas, adil, telus, tulus, bijaksana sifatnya rohaniah tetapi boleh diterjemahkan dalam amal dan perbuatan.

Bila kita mengurus sesuatu dengan amanah bermakna sandaran kita kepada Allah adalah tinggi. Pertimbangan Allah menyaksikan dan Maha Mengetahui mengenai apa yang manusia amalkan menjadi batasan bagi manusia melakukan sesuatu.

Sekiranya manusia melakukan sesuatu kerana manusia, tiada jaminan manusia berlaku amanah kerana manusia tidak mampu menyaksikan segala-galanya. Tetapi apabila manusia yakin Allah menyaksikan apa yang dilakukannya ia menjadikan manusia lebih telus.

Oleh itu, kehebatan orang Islam tidak saja dilihat pada keyakinannya tentang Allah dan keindahan Islam itu sendiri. Kehebatan kita di sisi Allah ialah tahap ketakwaan yang kita miliki. Ketakwaan adalah kayu ukur hubungan manusia dengan Tuhannya. Apabila ketakwaan wujud pada diri di setiap masa, maka apa saja perlakuan manusia sentiasa mengambil kira hubungannya dengan Allah.

Pendirian seperti ini akan menyebabkan insaf-ketuhanan atau God-conciousness sentiasa tinggi dan kemungkinan berlakunya kesilapan amal adalah rendah.

Ketinggian rohaniah membangun jiwa yang kudus dan bersih. Bersih rohaniah memandu landasan berfikir yang jernih. Apa yang difikir dan apa yang ada di hati adalah elemen-elemen yang bersih ia bakal memancarkan amal yang bersih juga. Oleh itu, hubungan antara faktor rohaniah dengan faktor ilmu dan juga faktor amal sifatnya satu.

Tidak mungkin seseorang yang memiliki faktor rohaniah yang tinggi, menghasilkan pemikiran yang rosak dan memiliki kualiti rasa yang tercemar. Sekiranya keadaan ini berlaku ia bakal menghasilkan konflik, keliru dan celaru.

Kadang-kadang kita melihat secara zahir seseorang itu tekun melakukan ibadah. Ibadah itu semacam tidak boleh mengubah tabiat dan pekertinya. Pancaran amalnya kadang-kadang mengelirukan.

Manusia jenis ini melihat Islam sebagai agama ritual, melihat faktor dosa dan pahala ibarat kira-kira tolak dan campur. Islam hanya terlihat pada pekerti ritualnya tetapi tidak terpancar dalam pekerti amalnya.

Waktu melakukan solat dia bersusah payah merapatkan saf dan meluruskan barisan, di luar sembahyang dia memiliki tabiat melanggar lampu jalan, tidak hormati peraturan, membuang sampah sesuka hati, payah ikut giliran untuk mendapatkan khidmat malah melakukan sesuatu yang terlarang.

Oleh itu, para remaja harus faham bahawa Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan terhadap yang ghaib tetapi mempunyai nilai untuk mengaturkan cara hidup. Ada juga orang berpendapat bahawa yang penting dalam hidup sebagai seorang Islam ialah akal.

Memang akal adalah sesuatu yang amat berguna bagi mendapatkan ilmu, melakukan sesuatu pertimbangan dan pedoman membuat keputusan bijak.

Dengan akal semata-mata para remaja tidak memiliki upaya mutlak untuk memahami semua perkara. Yang nyata dan bersifat benda pun tidak semua diketahui rahsianya oleh manusia. Yang manusia tahu menerusi kekuatan akal mengenai yang nyata, apa lagi yang ghaib masih sedikit dan terbatas.

Yang sedikit dan terbatas ini pun sekiranya dimanfaatkan oleh manusia sebaik mungkin sudah cukup membimbingnya untuk yakin kepada yang ghaib dan percaya kepada yang nyata.

Tetapi manusia memiliki sifat sombong dan angkuh yang menyebabkan sedikit yang diketahui menjadikannya hilang pedoman. Lalu dengan kuasa dan kedudukan yang ada melakukan kezaliman terhadap yang lain dalam berbagai bentuk. Sedangkan kisah Firaun membuktikan bahawa kuasa manusia adalah terbatas.

Oleh itu, akal manusia tidak segala-galanya. Akal yang dipedoman oleh faktor nakliah yang rohaniah sifatnya bakal mengimbangi perspektif pemikiran manusia mengenai sesuatu. Darinya manusia menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu yang dipandu oleh faktor rohaniah yang sifatnya membimbing.

Justeru amat penting remaja Islam dan generasi muda mengukuhkan faktor rohaniah diri dengan amal ibadah dan makna yang luas, kemudian ilmu menjadi suluh terhadap diri dan kehidupan. Teknologi sebagai alat untuk mencapai matlamat yang lebih baik dan murni dan amal sebagai pancaran rohaniah yang menghubungkan keyakinan mutlak terhadap Allah dan penghayatan manusia sebagai hamba dan khalifah.

Oleh itu, memahami Islam dan faham sekular ialah terlihat dalam perbezaan akal tanpa nakliah, teknologi tanpa nilai dan etika, kemajuan dan perubahan memberikan fokus kepada alat dan benda bukannya insan, moden diukur setakat mana liberal dan sekularnya manusia dalam ilmu dan amalan hingga akhirnya kedapatan manusia terjebak dalam kemelut hidup yang tidak mudah dilerai.

Islam membimbing remaja ke arah maju dan membangun, berubah dan moden atas asas rohaniah dan amaliah dengan memberi fokus kepada rijal atau insan sebagai sumber yang harus dibangunkan seutuh dan sebaik-baiknya. Insan yang terbangun akal-fikirnya, hati budinya, amal-perbuatannya adalah insan yang memiliki kualiti membangun sekitarnya dengan nilai-nilai adab dan tamadun.

Inilah matlamat pembangunan dan kemajuan dalam Islam bermula dengan pembangunan manusia secara menyeluruh dan integratif dan bersifat menyumbang ke arah kebaikan umat manusia.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.


[Disiarkan : 28 Jun 2007]

USIM Kini Semakin Disegani



USIA tujuh tahun adalah terlalu muda bagi sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mencipta nama agar setanding dengan IPTA yang telah lama ditubuhkan di negara ini.

Namun demikian, dalam era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ini, usia bukanlah penghalang mencipta kejayaan asalkan disertai dengan usaha dan ikhtiar serta bertawakal kepada Allah.

Itulah yang dibuktikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang namanya secara rasmi diisytiharkan di kampus utama di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan hari ini. Upacara penuh bersejarah itu akan disempurnakan oleh Canselornya, Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Sebelum ini, USIM yang ditubuhkan pada tahun 2000 dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan beroperasi di kampus sementaranya di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Kini USIM sudah bergerak pantas terutama dalam menyediakan program-program pengajian yang berkualiti termasuk dalam bidang perubatan, sains dan teknologi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) USIM, Prof. Dr. Muhamad Muda berkata, namun begitu, usaha terus diperhebatkan bagi memastikan kualiti akademik di USIM sentiasa pada tahap tinggi.

Ia supaya graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat khususnya industri, negara dan antarabangsa.

Oleh itu, agenda utama akademik USIM ialah memastikan setiap program pengajian melalui proses penambahbaikan dan pengemaskinian berterusan. Usaha itu dilakukan dengan gigih, tersusun dan sistematik.

“Dalam usaha menuju kecemerlangan akademik USIM memberi perhatian utama kepada pembentukan modal insan yang seimbang dari segi profesionalisme dan teras pendidikan Islam,” katanya.

Penekanan utama diberi kepada pembentukan kemahiran insaniah (soft skill). Ini termasuklah pengurusan diri, pembentukan personaliti, kemahiran berkomunikasi, keusahawanan dan kemahiran bahasa Inggeris dan Arab, di samping pendidikan Islam yang menjadi teras utama.

Bagi mencapai visi, misi dan matlamatnya, USIM memberi tumpuan kepada pengurusan sumber-sumber strategiknya secara holistik. Penekanan pertama ialah terhadap kemahiran pengajaran dan pembelajaran di kalangan para pensyarahnya di mana kaedah dan metodologi amat diutamakan.

Menurut Muhammad, usaha dan galakan meningkatkan kelayakan pensyarah sehingga ke tahap ijazah kedoktoran (PhD) serta latihan berterusan juga dibuat secara terancang.

Katanya, ini bagi melahirkan pensyarah berkualiti, mampu menambah nilai pelajar, profesional serta berdedikasi dan mempunyai komitmen yang tinggi.

“Di samping menjayakan misi nasional untuk membangunkan modal insan, usaha ini amat perlu untuk menjadikan pensyarah USIM lebih bersedia meningkatkan ilmu pengetahuan, teknik pengajaran dan pembelajaran terkini dan komitmen terhadap melahirkan graduan yang cemerlang, mempunyai minda kelas pertama dan personaliti unggul,” jelas beliau.

Kini usaha itu menampakkan hasil berdasarkan kejayaan-kejayaan yang dikecapi. Pensyarah dan pelajar berjaya meraih anugerah dalam dan luar negara. Ia bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi aktiviti sukan, kemahasiswaan dan juga khidmat masyarakat. Lebih penting lagi, graduan USIM kini sudah diterima dalam berbagai sektor dan industri.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Korporat dan Antarabangsa USIM, Sapora Sipon berkata, pembangunan kampus giat dijalankan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ini .

Prasarana bagi fakulti, makmal, perpustakaan, kemudahan pelajar dan sistem pentadbiran kini berjalan lancar. Sistem pentadbiran sedia ada akan terus diperkemaskan untuk menyokong pembangunan akademik USIM.

“Kami yakin dengan pendekatan yang diamalkan kini, USIM bersedia menjadi IPTA yang mampu menyediakan modal insan yang diharapkan,” katanya.

USIM kini mempunyai lapan fakulti iaitu Pengajian al-Quran dan Sunah, Kepimpinan dan Pengurusan, Syariah dan Undang-Undang, Ekonomi dan Muamalat, Sains dan Teknologi, Perubatan dan Sains Kesihatan, Pengajian Bahasa Utama dan Pergigian.

USIM juga menawarkan program pengajian pra-siswazah, pengajian siswazah, diploma siswazah dan Tamhidi (Matrikulasi).

Pusat Kecemerlangan di USIM antara lainnya terdiri dari pusat pengurusan penyelidikan dan persidangan, Pusat Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD).

Menyedari hakikat itu, USIM meletakkan pembangunan sumber manusia dalam perancangan hala tuju masa depan selari dengan hasrat menjadikan pembangunan modal insan sebagai teras utama dalam perancangan pembangunan negara.

Justeru itu, kata Sapora, USIM menggunakan pendekatan menghantar tutor dan pensyarah melanjutkan pengajian di peringkat sarjana atau PhD di pelbagai negara seperti United Kingdom, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Jordan, Syria, Morroco dan di universiti tempatan.

Di samping itu, pihaknya mengadakan program penempatan bagi kakitangan pentadbiran peringkat pengurusan dan profesional.

“Ia bertujuan mendapat pendedahan di organisasi kerajaan dan swasta tempatan seperti di Permodalan Nasional Berhad, Universiti Multimedia, Inti College, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga Universiti Sains Malaysia (USM),” tambahnya.

USIM juga aktif dalam menerbitkan buku dan penyelidikan dalam menganjurkan bengkel bagi meningkatkan mutu penerbitannya.

Sehingga kini, USIM menerbitkan 60 buah buku dan bertekad menjadi sebuah universiti cemerlang dalam bidang penyelidikan. Beberapa penyelidik universiti itu turut memenangi hadiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam memastikan kecemerlangan glokal, USIM turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA) dengan Pertubuhan Gansu Terjemahan Cina-Arabic, Universiti Islam Negeri Sharif Hidayatullah Jakarta, Institusi awam perbankan dan kewangan, Manama, Bahrain, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Malaysia Airports Berhad (Sepang), Universiti Asasi Antarabangsa Xi’an, China.

Terbaru, MoU dengan Kolej Asasi Islam Violet Magu’ Maldives.

Menurut Sapora lagi, dalam merintis kejayaan, perpindahan ke kampus utama di Bandar Baru Nilai membolehkan USIM menawarkan kemudahan dan perkhidmatan lebih selesa kepada warganya.

Antara kemudahan yang disediakan ialah bangunan fakulti, bangunan pentadbiran, pusat teknologi maklumat, dewan kuliah, dewan peperiksaan, makmal komputer, kompleks makmal sains. perpustakaan, pusat khidmat setempat, kompleks sukan dan pusat kesihatan pelajar.

Kemudahan lain seperti bilik kuliah, perpustakaan, pusat kemudahan pelajar, padang bersukan, gimnasium menjadi matlamat USIM dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik.

Sebagai pusat kecemerlangan berterusan, USIM kini menawarkan Program Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (SPADA). Ia adalah program latihan kepakaran bagi menyahut seruan kerajaan melaksanakan usaha kolektif memerangi dadah sebagai musuh nombor satu negara.

Sepanjang penubuhan dan pengendalian program SPADA, pelbagai kemajuan dicapai. Antaranya usaha kolaborasi antara universiti, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) peringkat kebangsaan dan antarabangsa. SPADA terlibat dengan penyelidikan dan penerbitan hasil pengalaman pengendalian program.

Penilaian program SPADA melibatkan penilai antarabangsa serta pakar-pakar yang berkemahiran tinggi dalam bidang penyalahgunaan dadah.

*Penglibatan Canselor

Sokongan dan keprihatinan Tuanku Canselor terhadap perkembangan USIM memberi universiti keyakinan untuk terus maju dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, program kemasyarakatan dan pentadbiran.

Tuanku Canselor sangat aktif memberi sokongan kepada USIM melalui aktiviti-aktiviti seperti Tuanku Najihah Syariah & Law Lecture, Pertandingan Golf Amal, Majlis Santapan Sempena Konvokesyen, Majlis Konvokesyen dan lawatan-lawatan rasmi ke USIM.

Aktiviti-aktiviti USIM

* Seminar Dan Konvensyen

Persidangan Kedua Ekonomi Islam 2007 (iECONS 2007) akan dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur pada Julai 2007.

Bertemakan ‘Pembangunan seimbang dan komprehensif antara negara islam serta peluang kerjasama dan cabaran’ dan dihadiri oleh pembentang kertas kerja dari Iran, Indonesia, Pakistan, Labenon, Algeria, Mesir dan Arab Saudi.

iECONS 2007 akan mengetengahkan topik berkaitan kerjasama, peluang dan cabaran yang dihadapi oleh negara-negara Islam dalam memastikan keseimbangan ekonomi tercapai. Dijangka lebih 50 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang persidangan bermula dari 17 hingga 19 Julai.

Maklumat lanjut mengenai persidangan boleh dilayari di www.usim.edu.my/iecons2007 atau hubungi Nuradli Ridzwan Shah 606-798-8722/017-601-2027/.

* Seminar Warisan Nabawi

Seminar yang bertemakan aplikasi dan cabaran-cabaran semasa ini akan diadakan pada 11 dan 12 Julai 2007 di Palm Garden, IOI Resort, Putrajaya. Seminar ini akan dirasmikan oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.

Ucaptama seminar akan disampaikan oleh tokoh ulama dan pakar dalam bidang sunnah dan sirah Nabawiyyah, didatangkan khas dari Syria, Prof. Dr. Muhammad Ramadhan al-Bouti. Dijangka lebih 50 kertas kerja dibentangkan dalam seminar ini dan disampaikan oleh para ilmuan dari dalam dan luar negara. Sila lawat laman web www.usim.edu.my untuk keterangan lanjut.

* Konvensyen Kebangsaan Undang-Undang (Isu-isu penguatkuasa dan perundangan)

Konvensyen ini dianjurkan oleh Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, pada 28- 29 Ogos di Hotel Pan Pacific KLIA.

Antara tokoh yang akan membentangkan kertas kerja ialah Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faiza Thamby Chik, Pengarah Bahagian Penyelarasan dan Penguatkuasaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Abdul Latif Ibrahim, Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan, Amiruddin Abdul Rahman dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Mustafa Abdullah.

Pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi Arif Fahmi Md. Yusof di 019-3567390 atau Zahari Mahad Musa di 012-3760496.

* Penulisan Rencana Kemerdekaan

USIM dipilih sebagai ketua jawatankuasa kerja penulisan rencana sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-50 tahun peringkat Kementerian Pengajian Tinggi.

Warga institusi pengajian tinggi awam dan swasta dipelawa menyumbangkan rencana bertema kemerdekaan untuk dibukukan dan disiarkan dalam akhbar utama.

Tarikh akhir menghantar rencana ialah pada 15 Julai 2007. Sila lawati laman web www.usim.edu.my atau e-mel sapora@admin.kuim.edu.my atau saporasipon@yahoo.com.my atau arshad@admin.kuim.edu.my.

* Majlis Konvokesyen

Majlis Konvokesyen USIM akan diadakan pada 4 Ogos 2007 di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Majlis Santapan Sempena Konvokesyen USIM akan diadakan pada 3 Ogos 2007 di Hall A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

* Kejohanan Debat

USIM dengan kerjasama Sekretariat Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) akan menganjurkan Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN pada 19 hingga 23 Julai 2007. Tema kejohanan Debat ialah ‘Membudayakan Bahasa Arab Sebagai Bahasa Ilmu dan Diplomasi’. Sila lawat laman web www.usim.edu.my untuk keterangan lanjut.

Pada masa yang sama, pertandingan Debat Alam Sekitar anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Madum dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM akan diadakan dari 27 hingga 31 Julai 2007 di Kampus Induk USIM, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.