Thursday, July 5, 2007

Dilarang menyekutukan Allah

DAN mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: mereka ( yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami disisi Allah”.

Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang ia tidak mengetahui adanya dilangit dan dibumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya) Maha suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan. (Yunus: 18)

HURAIAN

Manusia adalah semulia-mulia makhluk di sisi Allah kerana dikurniakan akal fikiran berbanding makhluk lain. Matlamat hakiki kejadian manusia adalah untuk beribadat dan mengabdikan diri semata-mata kerana Allah s.w.t.

Tiada Tuhan lain yang wajib disembah melainkan Allah. Sesiapa yang menyembah selain dari-Nya, bererti telah menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

Dengan kata lain, mereka tergolong dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah.

Golongan ini adalah mereka yang menuju kehancuran dan tidak mendapat rahmat Allah.

Mereka telah beralih kepada menyembah objek lain semata-mata mengikut runtunan nafsu. Mereka menyangka Tuhan-Tuhan mereka itu berkuasa mendatangkan kebaikan dan kecelakaan sedangkan hakikatnya tuhan palsu itu tidak dapat memberi syafaat dan tidak dapat berbuat apa-apa.

Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Esa lagi Maha Berkuasa mengetahui segala isi hati mereka yang melakukan syirik ini. Mereka hendaklah segera bertaubat. Jika tidak neraka jahannamlah tempat paling sesuai bagi mereka yang menyengutukan Allah.

KESIMPULAN

Umat Islam dilarang menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Hanya Allah yang kita wajib sembah dan setiap sesuatu yang kita lakukan adalah kerana Allah semata-mata.

Mereka yang menyengutukan Allah s.w.t. akan sentiasa hidup dalam kerugian dan kesesatan sedang diakhirat pula mereka ditempatkan di dalam neraka jahanam berserta golongan musyrikin yang lain.

Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Konflik bakat, minat dan pilihan ibu bapa

SEORANG pelajar aliran sains bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Namun ibu bapanya terlalu menginginkannya kelak menjadi seorang jurutera. Pelajar ini, Ahmad, menjadi serba salah antara ingin menjadi seorang jurutera dan menjadi seorang peguam.

Menjadi seorang peguam adalah minatnya sejak kecil dan menjadi seorang jurutera adalah harapan ayahnya sejak lama.

Akhirnya dia terpaksa memilih jurusan kejuruteraan yang kurang diminatinya. Keputusan SPMnya yang baik telah membantunya memasuki bidang berkenaan.

Tahun pertama dia berasa payah untuk mengikuti program kejuruteraan tersebut. Purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang diperolehnya tidak begitu baik. Di hujung semester kedua gred yang diperoleh semakin merosot. Ia masih boleh meneruskan pengajiannya kerana grednya masih berada di paras 2.0.

Tahun kedua semester pertama, dia terasa serba salah antara kekal dengan bidang yang ada atau bertukar ke bidang lain. Mengenangkan harapan orang tuanya, dia kekal dalam bidang kejuruteraan. Kekal dalam bidang kejuruteraan bermakna berdepan dengan pencapaian yang lebih merosot. Ternyata ia benar.

Semester pertama tahun kedua pencapaiannya berada di bawah PNGK 2.0 dan dia diminta meninggalkan universiti. Akhirnya dia gagal untuk meneruskan pengajian dan memohon ke universiti swasta untuk kursus yang diminatinya.

Analisis

KISAH ini menjadi pengajaran untuk semua. Memilih bidang kursus seharusnya berdasarkan kepada bakat dan minat di samping kelulusan yang ada.

Para pelajar kadang kala terdesak untuk memilih atas kemahuan ibu bapa. Ibu bapa mempunyai impian sendiri terhadap anak-anaknya. Tidak salah ibu bapa memberi pandangan dan campur tangan dalam urusan memilih bidang. Yang bakal belajar ialah pelajar itu sendiri.

Sekiranya bidang pengajian tidak selari dengan minat serta bakat anaknya ia bakal menimbulkan masalah. Banyak kes seperti ini membawa kepada kegagalan para pelajar.

Merujuk kepada kes Ahmad tadi, ia akan membawa kepada tekanan perasaan kerana dua perkara. Pertamanya, Ahmad berasa tertekan dengan keputusan peperiksaannya yang rendah sedangkan keluarganya mengharapkannya menjadi seorang jurutera yang berjaya.

Keduanya, Ahmad akan bertambah keliru dan tidak bersemangat untuk belajar kerana kurang berminat dengan jurusan kejuruteraan dan hal ini menyebabkan wujudnya perasaan rendah diri dalam dirinya.

Biasanya para remaja yang memilih bidang yang diminati dan mempunyai kelulusan yang cukup di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia akan lebih yakin dengan apa yang dibuatnya. Jika ibu bapa campur tangan tanpa memahami minat dan bakatnya, dikhuatiri anaknya akan memberontak dari dalaman. Kadangkala, anak-anak serba-salah antara memilih cita-cita sendiri dan mengikut kemahuan ibu bapa.

Tips peranan remaja

1. Remaja haruslah mendapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang di dalam kedua-dua bidang berkenaan. Dalam erti kata lain, membuat sedikit homework untuk memilih bidang yang sesuai untuknya.

Misalnya, dalam kes Ahmad, beliau boleh menghubungi atau mengunjungi individu-individu atau pihak seperti:

* Dekan atau pensyarah di universiti/ kolej di dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang. Ahmad boleh bertanyakan bidang kursus, masa depan kedua-dua bidang tersebut dan membandingkan dengan kelulusan serta minat dan bakatnya.

* Pelajar-pelajar universiti di dalam kedua-dua bidang berkenaan. Jika tiada saudara terdekat, rakan-rakan yang mempunyai saudara yang belajar di IPT juga boleh dijadikan rujukan.

* Maklumat daripada bahan bacaan seperti majalah, internet dan buku motivasi boleh membantu seseorang dalam membuat keputusan.

Apabila langkah mengumpulkan maklumat ini telah diambil, pelajar akan lebih yakin dengan pilihannya.

Ini juga antara lain boleh menyelesaikan kekeliruan yang timbul di dalam dirinya. Pepatah ada mengatakan, ‘semakin anda keliru dengan sesuatu, semakin itulah anda patut berusaha mencari jawapannya.’

Sekiranya remaja tersebut beragama, sebaik-baiknya remaja tersebut memohon kepada Tuhan supaya diberi petunjuk yang benar.

2. Remaja tidak perlu berasa serba salah dan harus bersedia berterus terang dengan cara yang baik dan bijaksana. Ini supaya ibu bapa tidak memaksanya mengambil bidang yang tidak diminatinya.

Di dalam kes Ahmad, beliau boleh menunjukkan maklumat yang telah dikumpul tadi kepada orang tuanya dan berbincang secara matang dan rasional tentang hala tuju hidupnya.

3. Jika hasrat meneruskan bidang yang dipilih mendapat restu ibu bapa, pelajar tersebut haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa bidang yang dipilihnya itu bukan sahaja membawa kebaikan untuk diri dan keluarganya, malah membantu menyumbang kepada masyarakat.

Peranan ibu bapa

1. Ibu bapa harus menghargai dan menghormati minat dan bakat anak-anak. Anak-anak harus dirundingi dan ibu bapa harus bertindak sebagai penasihat. Mereka perlu membekalkan maklumat yang cukup mengenai bidang yang ingin dipilih.

2. Apabila nasihat yang betul diberikan, pilihan membuat keputusan sepatutnya diserah kepada anak-anak.

3 Pilihan bidang berasaskan minat dan bakat disertai dengan kelulusan yang baik dan sesuai boleh mendorong anak-anak lebih berjaya dalam bidang pengajiannya. Menjayakan cita-cita sendiri berasaskan bakat, minat dan kelulusan yang sesuai boleh menghasilkan keputusan yang cemerlang.

Kesimpulan

Para remaja yang berada di persimpangan memilih hala tuju hidup harus mengambil sikap proaktif dengan mencari sebanyak maklumat tentang pilihan yang ada. Perbincangan secara berhemah harus diadakan dengan ibu bapa agar mereka memahami minat dan bakat anak mereka.

Sesuatu pekerjaan yang datang besama minat yang mendalam pasti membuahkan hasil yang lebih baik daripada melakukan pekerjaan yang tidak disertai dengan minat.

Oleh itu, para remaja harus bijak untuk membuat keputusan mengenai hala tuju hidupnya dan pada masa yang sama, memperoleh restu daripada ibu bapa yang tercinta.

* MOHD. FARID MD. ALIAS ialah graduan Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Hassan dekati Islam secara curi-curi

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK






Minat Hassan Abdullah bermain alat muzik memberi kelebihan kepadanya untuk mencipta lagu.
--------------------------------------------------------------------------------

Tidak pernah terfikir untuk dirinya mendalami agama Islam apalagi sebelum ini ibu bapa dan ahli keluarganya tidak mempercayai tentang kewujudan Tuhan. Baginya pegangan itu tersemat di jiwa sejak kecil sehingga dewasa tanpa pegangan agama yang kuat.

Kehidupan sehariannya di United Kingdom (UK) diteruskan seperti manusia lain di muka bumi ini. Namun dalam kehidupan itu hatinya mula mencari-cari erti ketenangan dalam hidupnya sebagai hamba kepada maha pencipta.

Semua itu ibarat cermin pada dirinya mendalami agama Islam yang mendorong untuk bergelar seorang muslim.

Apa yang mahu dikongsikan ialah bagaimana beliau sebelum ini yang mengamalkan budaya barat kini bertukar wajah menjadi seorang muslim sejati apabila mendapat petunjuk dan hidayah Allah s.w.t.

“Hati ini terdetik untuk mengenal Islam ketika bekerja di salah sebuah kedai buku yang menjual pelbagai koleksi buku berkenaan falsafah dan agama timur.

“Apabila saya melihat dan menyusun buku tersebut lalu terpandang beberapa buah buku ilmiah yang menceritakan tentang agama Islam,” kata Hassan Abdullah Peter Brown, 64, ketika ditanya apa yang mendorongnya mendalami Islam di kediamannya di Medan Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semasa bekerja di kedai buku itu beliau bertemu seorang warga Britain yang telah memeluk Islam. Beliau iaitu seorang pendita memperkenalkan Hassan kepada seorang Syeikh.

Bermula dari situ, ia menjadi titik permulaan baginya mengenali Islam di samping berkerja sebagai pelayan di kedai buku. Pantang ada masa terluang, beliau akan mencuri masa mempelajari dan mentelaah bahan-bahan rujukan agama.

Dalam pada itu, pada zaman remaja dan dewasa dia gemar bermain alat-alat instrumen muzik di samping menjadi komposer dan penerbit bagi lagu-lagu Inggeris. Bagaimanapun, minatnya dalam dunia muzik adalah sekadar hobi semata-mata.

Pada masa yang sama, kegagalan rumahtangganya yang pertama memberi kesan dan membuatnya berasa amat pilu. Oleh kerana itu beliau menjadi ahli sebuah kumpulan terapi yang dianjurkan oleh warga Iraq yang juga seorang penari dan pemain alat muzik.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah senamrobik, berzikir mudah seperti Bismillahirrahmanirrahim dan menari sambil penganjur bermain percussion.

Selain itu, peserta-peserta juga duduk sambil mendengar kaset Al-Quran. Walaupun pada waktu ini Hassan belum lagi mengenali al-Quran, tetapi mendengar rakaman itu mententeramkan hati dan perasaannya. Album Hassan seterusnya, The Seacher mengandungi ciri-ciri Islam.

Tidak lama kemudian Hassan memeluk Islam dan Allah maha kaya apabila Hassan akhirnya pada tahun 70-an dipertemukan jodoh dengan seorang isteri, Markizah Halim, 52, yang mempunyai minat yang sama dalam bermain alat muzik dan menyanyi.

Ketika zaman muda, isterinya melanjutkan pengajian di UK dalam bidang osteopathy di salah sebuah universiti yang terkemuka di sana.

Hasil daripada pertemuan serta minat dan hobi yang sama dalam bermain alat muzik akhirnya hati mereka disatukan sebagai suami isteri. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nafisah, 26 dan Rashid, 23, yang ketika itu masing-masing masih kanak-kanak lagi.

Selepas empat tahun mendirikan rumahtangga di UK akhirnya Hassan sekeluarga kembali ke Malaysia untuk menjana kehidupan yang bahagia di bumi ini.

Cabaran

Di Malaysia, Hassan dan isteri terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mendapat pekerjaan.

Namun atas keberkatan Allah s.w.t akhirnya Hassan ditawarkan sebagai pensyarah sejarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1984. Isterinya pula bekerja sebagai osteopath di sebuah pusat terapi alternatif.

Namun bagi Hassan minatnya yang mendalam dalam dunia muzik menyukarkannya memberi komitmen mengajar seratus peratus. Akhirnya Hassan dan Markizah memutuskan untuk kembali aktif bermain muzik dan menyanyi di hotel-hotel terkemuka di dalam dan luar negara selain mereka juga merakam dua album.

Kini, Hassan mendapat kepuasan mengendalikan dan bermain muzik bersama isterinya dengan sebuah kumpulan muzik, Soft Touch yang mengadakan persembahan atas jemputan untuk majlis-majlis keramaian. Soft Touch juga telah merakam album tahun lepas.

Jelasnya lagi, kehidupannya menjadi bahagia dengan sokongan isteri dan anak-anak yang membantu dirinya untuk terus menjadi muslim sejati.

Ditanya mengenai amalan selepas bergelar muslim, Hassan berkata, kehidupan kini lebih bahagia dan tidak pernah kekok dalam mendalami ilmu agama. Banyak aktiviti keagamaan dan kebajikan disertai bagi memelihara hubungan dengan masyarakat.

Katanya, amalan agama seperti berpuasa pada bulan Ramadan tidak menjadi penghalang pada dirinya. Namun pada peringkat awal dulu menjadi kesukaran tetapi sekarang ia telah menjadi kebiasaan pada dirinya.

Hassan juga bersyukur kerana isterinya sentiasa memberi sokongan dalam membawa dirinya ke jalan Allah s.w.t. Tanpa sokongan isteri kemungkinan besar dirinya akan hanyut dalam dunianya yang sebelum ini.

“Isteri dan anak-anak adalah penguat kasih sayang kami dalam menjalani kehidupan sebagai muslim,” jelasnya.

Kini Hassan memfokuskan kepada kerja-kerja penerbitan muzik dan mencipta lagu untuk pasaran tempatan. Bagi mereka yang ingin mengenali atau memerlukan bantuan dari segi instrumen muzik boleh melawati laman web: www.lemang.com dan emel: lemangmusic@gmail.com.

Wednesday, July 4, 2007

Kita digalak berinfak

Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Syeikh al-Maraghi berkata, selepas Allah menyebut sifat manusia yang sukakan perhiasan dunia yang memperdayakan mereka, sedangkan ahli haq mereka yang menanggung pelbagai kesengsaraan terhadap harta dan jiwa mereka serta mencari keredaan Allah.

Amat munasabah Allah menyebut golongan yang digalakkan berinfak fi sabilillah.

Firman Allah: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya). (al-Baqarah: 215)

Firman Allah s.w.t: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?

Al-Mawardi mengemukakan sebab nuzul dengan dua pendapat:

a) Ia diturunkan sebelum turun ayat zakat berkenaan kewajipan infak kepada keluarga dan sedekah kemudian dinasakhkan oleh ayat zakat. Inilah pendapat al-Suddi.

b) Bahawa sahabat Rasulullah bertanyanya tentang harta mereka yang mereka gunakan. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Ibn Jauzi menambah dengan lisan Amru bin al-Jumuh al-Ansari yang mempunyai banyak harta dan bertanya: Hai Rasulullah, dengan apa kami sedekah dan siapa yang kami infakkan?

Al-Qurtubi berkata: Dikatakan yang bertanya adalah kaum yang beriman. Ini bermaksud mereka bertanyamu dari segi wajah yang mereka nafkahkan kepadanya dan di mana mereka letakkan apa yang lazim untuk diinfakkannya.

Sayid Qutub berkata: Banyak ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tentang infak telah diturunkan sebelum dikemukakan pertanyaan ini. Khidmat infak dalam suasana-suasana pertumbuhan Islam itu merupakan satu khidmat yang perlu untuk membangun masyarakat Islam bagi menghadapi cabaran kesulitan-kesulitan dan peperangan yang sedang dihadapi olehnya.

Ia juga merupakan satu khidmat yang perlu dari kerjasama dan takaful antara ahli-ahli kelompok Muslimin dan dari segi untuk menghapuskan perbezaan perasaan agar setiap ahli kelompok merasa dirinya sebagai anggota dalam badan kelompok itu, di mana dia tidak dihalang dan tidak ditahan dari sesuatu apa.

Tegasnya khidmat infak itu mempunyai nilainya yang amat besar dalam menegakkan kelompok Muslimin dari segi perasaan, kerana khidmat memenuhi keperluan kelompok itu mempunyai nilai dalam menegakkan kelompok dari segi amali.

Firman Allah: Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.

Dua sasaran

Sayid Qutub berkata: Ungkapan ini memberi dua sasaran. Pertama ia menyarankan bahawa sesuatu yang dibelanjakan itu adalah baik, iaitu baik kepada si pemberi, baik kepada si penerima, baik kepada masyarakat dan ia sendiri merupakan suatu kebaikan kerana ia adalah suatu amalan yang baik, jasa yang baik, dan khidmat yang baik.

Kedua ia menyarankan agar pihak yang memberi infak itu memilih sesuatu yang terbaik yang ada padanya untuk diinfakkannya agar orang lain dapat agar orang lain dapat menikmatinya bersama-sama dengannya.

Khidmat itu membersihkan hati dan menyucikan jiwa, di samping memberi faedah dan pertolongan kepada orang lain. Kesanggupan memilih harta milik yang baik dan melepaskan kepada orang itulah yang dapat mewujudkan kebersihan kepada hati dan jiwa. Kesanggupan mengutamakan kepentingan orang lain mempunyai maknanya yang amat mulia.

Tetapi saranan ini bukannya mengertikan suatu tuntutan yang diwajibkan. Sebabnya tuntutan yang ditetapkan syarak – sebagaimana yang disebut di dalam ayat yang lain – ialah seseorang itu harus menginfakkan suatu harta yang sederhana sifatnya bukannya suatu harta yang paling murah atau paling mahal yang ada padanya.

Namun demikian saranan di sini cuba membiasakan seseorang supaya mengorbankan hartanya yang paling baik dan cuba menggalakkannya berbuat demikian mengikut cara al-Quran yang mendidik jiwa manusia dan melengkapkan hati mereka.

Al-Qurtubi berkata: Zahir ayat ini menunjukkan khabar yang mengandungi janji balasan baik kepada mereka yang melakukan segala kebaikan. Di sini disebut pemberian kepada kaum kerabat, orang miskin dan juga orang musafir yang keputusan bekalan untuk dibantu supaya meringankan kesukaran mereka.

Perbuatan seperti ini menggambarkan betapa Islam memandang berat berhubung dengan kebajikan masyarakatnya. Ini jelas terbukti melalui hadis, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa yang tidak prihatin terhadap saudaranya yang Islam maka dia bukan dari kalangan mereka.

Firman Allah: Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Balasan

Apa pun kebajikan yang kamu buat kepada mereka yang disebutkan dalam ayat ini, ataupun kepada golongan yang tidak disebutkan dalam ayat ini, tetapi disebutkan dalam ayat yang lain seperti, orang fakir yang meminta-minta dan hamba yang menuntut kemerdekaan, juga kepada golongan yang lain, semata-mata kerana Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, sesungguhnya Allah amat mengetahui dan kelak akan memberikan balasannya.

Muqatil berkata: Ayat ini berhubung dengan nafkah yang sunat sebagaimana yang diterangkan Allah berdasarkan jawapannya. Begitu juga apa yang disebut di dalam hadis riwayat Ahmad daripada Abi Ramsah, Rasulullah s.a.w: Orang yang patut kamu infak ialah ibumu, bapamu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu kemudian yang hampir denganmu.

Maimun bin Mihram membaca ayat ini kemudian berkata: Inilah tempat-tempat nafkah tidak disebut padanya gendang, seruling, kayu-kayu yang diukir dan juga perhiasan pada dinding-dinding.

Ibn Kathir berkata: Allah s.w.t menutup ayat ini dengan menyatakan apa yang kamu lakukan dari sebarang kebaikan maka Allah pasti mengetahuinya dan membalas kamu dengan sebaik-baik balasan. Sesungguhnya Dia sekali-kali tidak menzalimi seseorang sekalipun seberat zarah.

Iktibar Ayat:

* Syeikh al-Maraghi berkata: Daripada yang maklum bahawa membelanjakan harta seperti mengorbankan jiwa kerana kedua-dua daripada ayat iman.

* Ibn Kathir berkata: Ayat ini berkenaan dengan nafkah yang sunat.

* Berihsan kepada keluarga dan miskin serta golongan yatim amat-amat digalakkan.

* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tuesday, July 3, 2007

Ramai pengguna Muslim 'mati’ hati

Umum mengetahui kaitan antara pemakanan dengan tingkah laku dan ibadat seseorang Muslim. Atas sebab itu Allah berfirman: Dan makanlah dari rezeki yang kami berikan iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman. (al-Maaidah: 88)

Dalam realiti hidup, tidak ada individu yang boleh menghasilkan semua jenis produk untuk memenuhi keperluannya. Oleh sebab itu, timbullah frasa popular, ‘pengguna adalah raja’.

Bagaimanapun, sering kita berhadapan dengan keadaan di mana pengguna telah menjadi `hamba’. Dalam keadaan tertentu, pengguna terus ditekan sama ada dalam bentuk kenaikan harga atau kekurangan barangan asas di pasaran.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto AZLI AHAD menemu bual Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bagi mengupas isu kepenggunaan ini.

MEGA: Apakah senario hal ehwal kepenggunaan dalam masyarakat Islam di Malaysia kini?

NADZIM: Mengikut kajian kita, terdapat kelemahan yang nyata dalam segi sosial, akademik dan kesihatan di kalangan umat Islam negara kita. Ini sudah pasti memberi kesan kepada aspek kepenggunaan dalam Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah Muslim.

Kebanyakan orang Islam kurang peka malah ada yang sambil lewa tentang bab halal haram. Ini bukan sahaja dalam perkara yang melibatkan makan minum tetapi juga dalam bekerja.

Kita ketepikan soal bab halal haram sembelihan ayam dalam perbincangan ini. Hari ini, kita melihat umat Islam mudah diperdayakan oleh cop dagang atau nama yang tertera pada sesuatu produk. Pendek kata, kalau nama pada pembalut sesuatu produk atau makanan itu nama orang Melayu seperti Azam atau Ahmad, tanggapan orang kita produk ini mesti halal.

Begitu juga apabila mencari restoran atau kedai makan. Kita mudah terpedaya, kalau ada bergantung ayat al-Quran atau tulisan halal walaupun pengusahanya bukan Islam kita masih ‘berselera’ duduk makan di situ.

Setakat ini, tiada undang-undang boleh diambil ke atas golongan yang mengelirukan identiti agama begini. Oleh sebab itu, umat Islam perlu lebih berhati-hati dan jangan terpedaya dengan taktik peniaga sebegini.

Apakah puncanya kita seolah-olah tidak berdaya melawan keadaan begini sedangkan umat Islam adalah majoriti di Malaysia?

NADZIM: PPIM melihat isu ini berkait rapat dengan keberkatan hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memain peranan penting. Orang yang pentingkan keberkatan akan datang semula membayar minuman yang terlupa dibayarnya di sesebuah kedai semalam. Kerana dia tahu apa yang masuk ke dalam mulutnya itu akan menjadi darah daging.

Apabila terlalu banyak mengambil makanan yang tidak halal (bukan setakat khinzir dan arak) tetapi juga makanan yang dicuri atau sengaja tidak mahu membayar semasa makan di kedai ia akan menjejaskan hati manusia. Hati ini adalah organ yang amat penting dan raja kepada sekelian anggota.

Sebab itu, Rasulullah bersabda: Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya. Apabila ia rosak, rosaklah badan seluruhnya. Ketahuilah itulah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila kita melakukan dosa, maka Allah campakkan ke dalam hati kita satu titik hitam. Sebab itu, orang yang sentiasa melakukan kemaksiatan tidak akan berfikir tentang pentingnya bab halal haram dalam hidup. Dengan kata mudah, hati mereka telah mati. Tidak lagi sensitif apabila soal kepentingan Muslim dihina dan diperkotak-katikkan.

Apabila hati telah mati, kita akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak Muslim untuk bekerja atau berniaga di lokasi strategik diketepikan. Demikian juga kita tidak prihatin membantu peniaga Muslim.

Semua ini bertentangan dengan ajaran Islam sebagaimana sabda Rasulullah: …orang Islam bersaudara orang Islam, tidak boleh ia menganiayanya dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinakannya… (Riwayat Muslim)

Ada pihak yang was-was tentang kuasa pengguna dan kemampuannya membendung contohnya kenaikan harga barang. Apa pandangan PPIM?

NADZIM: Pertamanya, PPIM melihat begini, kita ditindas sebab kita lemah. Jika umat Islam hebat sudah tentu tidak ada pihak yang berani cuba menekan dan menindas kita. Begitulah juga keadaan yang berlaku antara Fatah dan Hamas di Palestin.

Apa yang perlu kita buat ialah bersatu dalam berhadapan dengan begini. Jangan kita memperkecilkan kuasa pengguna yang ada.

Pengalaman PPIM membuktikan kita berjaya dalam beberapa hal. Antaranya, kita berjaya meningkatkan penggunaan minyak Petronas di kalangan umat Islam hasil kempen yang dilaksanakan tujuh tahun lalu. Demikian juga dengan penggalakkan mengambil insurans Takaful berbanding sistem konvensional.

Masyarakat perlu faham bahawa dalam sistem ekonomi terbuka kerajaan tidak boleh memboikot sesuatu produk. Tetapi kita sebagai pengguna boleh berbuat demikian. Sebabnya yang beli barang itu duit kita. Tiada siapa boleh paksa kita beli jika kita tidak mahu beli sesuatu produk atau perkhidmatan itu.

Kalau kenaikan harga ayam menimbulkan masalah, apa yang kita minta kepada pengguna Muslim ialah dua hari tanpa ayam, contohnya. Percayalah, jika kita bersatu kita mampu membendung kenaikan harga yang keterlaluan, insya-Allah.

Begitulah yang dilakukan oleh Mahatma Gandhi di India. Dengan meminta rakyatnya memboikot membeli garam dan kain dari pihak Inggeris, mereka berjaya menewaskan kerajaan penjajah.

Apakah aspek penting sebelum kita membeli atau menggunakan sesuatu perkhidmatan itu?

NADZIM: Islam adalah agama yang cintakan keamanan dan kedamaian. Ia tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang.

Ini juga yang ditegaskan menerusi firman Allah: Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya. (al-Maaidah: 2).

Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim. Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita bermuamalat dengan bukan Islam.

Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka bermuamalat dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim. Inilah yang menyedihkan.

Sepatutnya, kita perlu mempunyai agenda dan sentiasa meletakkan keutamaan apa pun yang kita lakukan ia mestilah membawa kebaikan kepada agama.

Ramai orang Islam yang tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu-membantu dan ini bukan lagi rahsia kejayaan rangkaian perniagaan kaum Cina.

Ada yang melihat PPIM ini terlalu emosional sehinggakan melenting dalam perkara-perkara yang disifatkan remeh-temeh. Contohnya dalam kes kilang roti di Nilai, sebelum ini. Benarkah?

NADZIM: Sebagai umat Islam yang dikatakan mewakili satu pertiga penduduk dunia hari ini, kita harus mempunyai prinsip tetap dan jelas mengenai apa yang kita gunakan setiap hari.

Prinsip dan dasar ini amat penting kerana ia menentukan masa depan dan nasib orang Islam agar sentiasa dihormati, tidak diambil mudah dan diperlekehkan.

Kita tidak boleh hanya melihat produk akhiran sahaja. Sebaliknya, kita perlu melihat proses pembeliannya, penyimpanannya, pengilangan, pengedaran dan pengangkutannya. Adakah semuanya menepati kehendak syarak.

Soalan lain yang perlu kita tanya adalah adakah logo halalnya betul dan tulen, adakah syarikat yang mengeluarkan produk ini menghormati masyarakat Islam dan adakah produk ini dimiliki oleh syarikat yang memusuhi Islam.

Sebagai pengguna kita perlu kritis dan jangan ambil mudah. Satu lagi soalan penting yang perlu ditanya adakah syarikat mengamalkan diskriminasi terhadap syarikat pembekal Islam yang cuba membekal bahan mentah kepada mereka.

Dalam melaksanakan tugas, yang marahkan PPIM bukan sedikit, malah ada juga melibatkan orang Islam. Adakah ini melemahkan semangat PPIM?

NADZIM: Memang kita menghadapi pelbagai rintangan. Tetapi kita menganggap tugas ini sebagai jihad. Dan menjadi sunnatullah menegakkan kebaikan itu pasti berhadapan dengan tentangan dan ujian.

Bukan niat kita untuk bermusuh dengan mana-mana pihak. Cuma ia bagi merealisasikan visi penubuhan PPIM pada Jun 1997, antaranya menjaga dan membela hak dan mengembalikan maruah para pengguna Islam melalui pelaksanaan aktiviti yang proaktif dan berstrategi.

Dalam masa yang sama, hari ini jika tidak ada keperluan sembelihan halal orang Islam tidak akan ada dalam industri tersebut. Sebab itu, kita perlu ‘ajar’ pihak-pihak yang cuba memperlekehkan umat Islam supaya menghentikan perbuatan tersebut.

Harapan kita, umat Islam menyokong usaha ini untuk kebaikan bersama serta mewujudkan Gerakan Pengguna Islam yang sensitif tehadap kehendak kepenggunaan Islam.

Sebabnya semua bangsa yang berjaya telah berkorban bermatian-matian dalam usaha membantu bangsa mereka. Amalan dan budaya bending backwards adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti Cina, Jepun dan Yahudi.


3/7/2007

Sunday, July 1, 2007

Jasad tidak reput

Oleh MOHD. YUSOF ABAS

SOALAN: SAYA dengar ada cerita mengatakan tubuh badan orang yang mati syahid tidak reput dimakan tanah.

Adakah cerita itu benar kerana saya lihat mereka yang terbunuh di Palestin terutama di khemah- khemah pelarian yang menjadi mangsa kepada pembunuhan kejam Israel, jasad mereka ramai yang hancur dan reput.

– Mohd Subari Sulaiman,

Dengkil, Selangor.

JAWAPAN: Menurut ulama, berdasarkan nas-nas yang diketahui lagi jelas, hanya jasad para Nabi dipelihara dari dimakan bumi. Ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: Allah s.w.t. mengharamkan jasad para Nabi dari reput dan hancur dimakan oleh bumi (riwayat Nasai, Ibnu Majah dan lain- lain). Sedangkan orang lain kalaupun ada kelebihan tertentu, maka ianya sebagai suatu keistimewaan dan tidak pasti berlaku kepada semua orang. Sebab itu banyak kita dengar berita, mereka yang menghafal al-Quran juga ada sesetengahnya tidak reput dimakan tanah. Ini adalah keistimewaan mereka yang dipilh-Nya sahaja. Justeru itu banyak riwayat yang sampai kepada kita mengenai kelebihan tertentu yang berlaku kepada para syuhada di kalangan para sahabat Rasulullah. Di antaranya seperti bapa saudaranya, Hamzah yang dicincang badannya tetapi bila digali kawasan perkuburannya di tepi Bukit Uhud untuk mengalirkan saluran mata air selepas 40 tahun semasa pemerintahan Muawiah, badannya ditemui masih elok dan kakinya yang terkena alat penggali masih berdarah (riwayat al- Baihaqi).

Begitu juga Abdullah ayah Jabir sebagaimana diceritakan oleh Jabir yang mengeluarkan ayahnya dari kubur selepas enam bulan pengebumiannya. Dia dapati tubuh badan ayahnya itu masih elok kecuali telinganya sedikit terjejas. Demikian juga jasad para sahabat lain yang gugur dalam Perang Uhud. Apabila air mengalir dan membongkar kubur mereka, tubuh badan mereka kelihatan masih baik dan tidak reput. Kita perlu faham bahawa ini semua adalah keistimewaan yang dikurniakan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-Nya. Walau bagaimanapun sekiranya didapati ada jasad yang hancur dan sebagainya daripada kalangan para syuhada dan huffaz tetapi keadaan ini tidaklah menjatuhkan darjat mereka kerana tidak syak lagi mereka itu adalah kebanggaan ummah dan agama. Firman Allah bermaksud: Jangan kamu sangka mereka yang terbunuh pada jalan Allah itu sebagai orang mati (percuma) malah mereka tetap hidup lagi mendapat rezeki (yang mewah) di sisi Tuhan mereka (al-Imran ayat169). Wallahualam.

Erti makruf dan mungkar

SOALAN: APAKAH yang dimaksudkan dengan makruf dan mungkar supaya senang kita bertindak mencegah yang mungkar dan menyuruh yang makruf?

– Mohamed Kamil, Sandakan,Sabah.

JAWAPAN: Perkara makruf ialah segala perbuatan kebajikan yang disenangi semua termasuk segala amalan ketaatan kepada Allah dan khidmat bakti dan kecemerlangan yang dilakukan kerana Allah atau segala amalan baik yang dilakukan untuk mengikuti Nabi besar kita. Perkara mungkar pula ialah setiap amalan yang dilarang dan tidak disuruh Allah dan Rasul-Nya.

Para ulama bersepakat mengenai anjuran agama tentang menyuruh dengan makruf dan mencegah yang mungkar sebagaimana firman-Nya bermaksud: Hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang bertugas mengajak kepada melakukan kebaikan dan menyuruh melakukan kebajikan serta melarang dari melakukan perkara mungkar ,mereka itulah orang yang berjaya (surah al- Imran ayat 104). Ini juga selaras dengan sabda Nabi bermaksud: Siapa yang melihat di kalangan kamu perkara mungkar hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya) sekiranya tidak berkuasa maka ubahkanlah dengan lidahnya (nasihat, teguran, aduan atau laporan) dan kalau tidak mampu juga maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman (riwayat Muslim). Imam Ghazali pernah menegaskan bahawa amar makruf dan nahyu mungkar adalah asas agama dan tujuan risalah para Rasul. Sekiranya tugas tersebut ditinggalkan maka gagallah hikmat risalah yang diutuskan dan sia-sialah peranan agama yang maha suci. Sedangkan majoriti ulama mengatakan tugas tersebut fardu kifayah. Apabila ada mereka yang dapat memenuhi keperluan umat, gugurlah dosanya dari seluruh anggota masyarakat. Malah kata sesetengah ulama, ianya (urusan tersebut) adalah fardu ain yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu muslim di tempat yang tidak ada mereka yang dapat melakukannya. Manakala yang lain ada mengatakan urusan amar makruf dan nahyu mungkar adalah wajib pada perkara wajib dan sunat pada perkara sunat. Wallahualam.

Suami pendiam

SOALAN: SUAMI saya seorang yang salih dan bertanggungjawab lagi penyayang dan sentiasa menjauhkan diri dari perkara yang haram. Sikapnya sangat pemurah terhadap saya serta anak-anak. Cuma kelemahannya iaitu susah hendak bercakap atau bermesra dengan kami kerana dia juga seorang yang sangat pendiam. Bagaimana untuk memperbaiki sikapnya?

– Maznah Ali,

Taman Keramat, Kuala Lumpur.

JAWAPAN: Pertama sekali tahniah terhadap anda yang dikurniakan suami yang baik. Sudah tentu ramai wanita yang iri hati dengan anda kerana suami anda adalah impian mereka selama ini. Ada sesetengah wanita mendapat suami yang pemabuk, penagih dan mulut celupar, bising terutama bila anda keluar rumah kerana menziarahi ibu bapa dan keluarga sendiri. Menjawab persoalan puan, manusia perlu matang dan waras dalam pertimbangannya sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Jangan sesiapa membenci mukmin (pasangannya) sekiranya dibencinya satu sikap tertentu, pasti disukainya dengan sikapnya yang lain. Pesanan ini ditujukan kepada semua mukmin terutama pasangan suami isteri yang ingin menyelamatkan rumah tangga yang bahagia. Anda perlu berpuas hati dan bersyukur kepada Allah di samping berusaha mendoakannya supaya lebih bertimbang rasa dan bertanggungjawab. Pendekatan yang perlu dilakukan ialah cuba memulakan perkara yang anda ingin supaya dilakukan oleh suami Mulakan dengan memuji kebaikannya. Contohnya memberi kata-kata manis serta pujian seperti “Adakah abang sedar bahawa abang adalah seorang yang baik lagi saleh?”

Sudah tentu lama-kelamaan anda akan dapat mendengar dari mulutnya perkataan yang manis-manis. Dia pastinya bangga dan terharu dengan pujian tersebut. Kalau dapat tambah lagi kata-kata sanjungan. Apabila dia sudah seronok, selitkan kata-kata nasihat atau teguran. Bila anda lakukan ini saya percaya suami anda pasti ingin mengetahui apakah yang menjadi idaman anda. Waktu itu bisikkan kepadanya segala idaman tersebut. Sekiranya diamalkan ajaran Rasulullah di atas dengan melahirkan sifatnya yang baik insya-Allah suami anda akan lebih lagi memperbaiki kelemahannya dan itulah sikap orang yang baik dan mulia. Wallahualam.

ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.


1/7/2007

Ibu tolak hasrat anak

Oleh Dr. Amran Kasimin

SOALAN: Saya berumur 26 tahun, menyintai seorang lelaki bertaraf penduduk tetap. Kami sering bertemu dan berkeyakinan dia seorang yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Malangnya emak tidak setuju perhubungan ini. Sikap ibu amat keras, menyebabkan saya merajuk, tidak bertegur sapa dengannya biarpun tetap duduk serumah.

Saya mahu hubungan ini tidak gagal. Kadang-kadang saya mahu merancang agar kami ditangkap basah. Dia mempunyai perasaan, ada nafsu dan begitu serasi lagi bertimbang rasa. Saya takut sesuatu yang buruk berlaku ke atas kami kerana kami sama-sama muda. Bagaimana hendak mengatasi masalah ini?

– Seri Mersing

JAWAPAN: Menurut syariat Islam, ada beberapa syarat yang mesti dipenuhi untuk berkahwin, iaitu ada lelaki, perempuan, wali, lafaz atau sighah mengandungi lafaz ijab dan kabul dan dua saksi. Rujuklah Rukun Nikah dalam kitab-kitab fiqah.

Kalau saudari rujuk hadis-hadis, ternyata sebahagian urusan berkaitan perkahwinan itu sering dirujuk kepada pihak lelaki, iaitu sifat-sifat perempuan macam mana yang selayaknya dipilih untuk dijadikan pasangan.

Dalam sebuah hadis, baginda bersabda menyatakan, perempuan itu dikahwini kerana empat perkara, iaitu kecantikannya, keturunannya, hartanya atau agamanya. Pilihlah yang beragama agar selamat dirimu. - Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Seorang lelaki memilih isteri berdasarkan kepada sifat-sifat yang dijelaskan. Walaupun demikian masalah agama mesti dititikberatkan. Rasulullah memberi amaran bahawa sekiranya seseorang itu mengahwini seorang perempuan kerana hartanya, Allah tidak menambahkan kepadanya kecuali, kefakiran.

Barangsiapa berkahwin kerana keturunannya, Allah akan menjadikannya hina. Namun andainya seseorang itu berkahwin untuk menundukkan pandangannya, membentengi nafsunya atau untuk menyambung persaudaraan, Allah akan memberi keberkatan padanya, begitu juga kepada perempuan yang dikahwini. – Hadis riwayat Ibn Hibban.

Sebaik-baik perempuan yang hendak dikahwini itu ialah perempuan yang menyenangkan apabila dipandang, apabila disuruh, ia patuh, apabila diberi janji, janji itu diterima dengan baik dan apabila si lelaki berpemergian, dirinya dan harta kamu dijaganya dengan baik. – Hadis riwayat an-Nasaiy.

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda menyatakan, wanita yang terbaik ialah mereka yang pandai menunggang unta. Perempuan Qurasy yang baik ialah yang pandai menyanyi anak-anak semasa kecil, juga pandai mengurus harta suami. Hadis ini bermaksud perempuan baik termasuklah yang rajin bekerja dan pandai mengurus.

Seorang sahabat pernah meminang seorang wanita mandul, lalu dia bertanya Rasulullah. Baginda menjawab: “Kahwinilah perempuan yang mencinta lagi berupaya beranak banyak, maka sesungguhnya aku bangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain pada hari kiamat .”

Hadis-hadis di atas, biarpun kata-katanya (khitab) dirujuk kepada kaum lelaki, namun ia juga perlu diperhatikan oleh wanita ketika memilih suami. Jangan dipilih yang handsome semata-mata berpangkat tinggi dan berketurunan. Rasulullah memberi amaran kemungkinan-kemungkinan buruk yang akan berlaku apabila seseorang itu memilih jodoh dengan membelakangkan agama.

Walaupun demikian, dalam memberi contoh atau sifat pasangan yang mesti dipilih, seseorang itu memang sukakan yang cantik, malah cantik itu sebenarnya tidak mempunyai kayu ukur secara pasti, kerana selera dan minat seseorang itu berbeza. Itulah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah. Apabila perkahwinan itu memenuhi syarat-syarat yang dijelaskan, maka perkahwinan itu sah. Walaupun demikian kufu ataupun kafaah di antara pasangan itu juga perlu diperkira.

Ada golongan yang memandang kafaah itu berdasarkan kecantikan, kekayaan, pangkat, keturunan dan lain-lain, tetapi kufu yang sebenar ialah dari segi keimanan dan takwa. Allah s.w.t berfirman, seperti yang tersebut dalam surah al-hujurat: 13, bermaksud: Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.

Abu Hind seorang tukang bekam, yang dianggap hina oleh kabilah Bayadhah, namun Rasulullah menggalakkan agar kabilah Bayadhah berkahwin dengan puteri Abu Hind, seperti tersebut dalam hadis bermaksud: Wahai Bani Bayadhah, kahwinlah perempuan-perempuan kamu dengan Abu Hind dan kahwinlah perempuan-perempuannya. – Hadis Abu Daud.

Berdasarkan keterangan di atas jelas terbukti bahawa saudari mempunyai alasan kukuh untuk berkahwin lelaki yang saudari maksudkan, biarpun orang asing dari luar.

Jangan bimbang atau mengungkit-ungkit sama ada lelaki ini manusia seperti kita atau tidak. Tentunya dia juga bernafsu, kalau tidak, masakan dia mahu mengahwini saudari. Saudari mempunyai asas kukuh untuk berkahwin dengannya dan begitu menyintainya. Saudari rela merancang ditangkap basah asal dapat kahwin ataupun kahwin lari. Dan apabila hasrat saudari “dihalang” ibu , saudari memberontak, memandang ibu sebagai musuh dan tidak bertegur sapa biarpun duduk dalam sebuah rumah.

Kasih sayang bertukar menjadi benci. Benci kepada manusia yang pernah mengandung saudari selama sembilan bulan, orang yang menyusukan saudari. Bersengkang mata, menjaga saudari ketika demam, sakit di malam hari. Saudarilah pengubat jiwanya,

Ibu atau bapa yang waras akan mencarikan jodoh yang terbaik menurut pandangan mereka, lebih-lebih lagi untuk anak perempuannya. Rasulullah bersabda bermaksud: Barangsiapa mengahwinkan saudara perempuannya dengan lelaki fasik, bererti dia telah memutuskan tali keluarganya. – Riwayat Ibn Hibban.

Mungkin juga saudari telah bersahabat dengan beberapa orang lelaki tempatan. Mungkin berjumpa lelaki yang berjanji hendak berkahwin, tetapi tidak datang meminang. Mungkin ada teman tidak bertahan lama sebab-sebab tertentu. Akhirnya saudari bertemu teman sejati sekarang, yang saudari fikir adalah terbaik .

Dalam mengatasi masalah ini saudari perlu meyakinkan ibu saudari yang lelaki ini adalah pasangan yang baik, boleh menjamin masa depan saudari, tentang amalan agamanya, latar belakang dan pekerjaannya.

Kalau saudari melihat buku: Satu analisa mengenai murtad yang saya tulis berdasarkan kajian dilakukan, saudari akan mendapati di kalangan anak yang bermasalah tentang agamanya ialah mereka yang lahir dari perkahwinan melibatkan orang luar.

Suaminya tidak mempunyai latar belakang agama begitu juga dengan isteri yang terdiri daripada orang tempatan. Apabila berlaku perceraian dan si suami balik ke negeri asal, anak hasil perkahwinan itu terbiar.

Biar dalam apa keadaan sekalipun, saudari perlu ingat amaran Rasulullah agar setiap orang yang beriman agar jangan duduk menyendiri dengan perempuan tanpa disertai oleh muhrimnya, kerana yang menjadi orang ketiga ketika itu ialah syaitan.

Saudari perlu bertindak bijak agar ibu tidak sedih atau kesal. Jangan selalu berdua-duaan dengannya kerana marahkan ibu yang tidak suka hubungan saudari. Terlalu malang kalau saudari kehilangan kasih ibu dan dalam masa yang sama kehilangan maruah diri.

PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.