Sunday, July 1, 2007

Ibu tolak hasrat anak

Oleh Dr. Amran Kasimin

SOALAN: Saya berumur 26 tahun, menyintai seorang lelaki bertaraf penduduk tetap. Kami sering bertemu dan berkeyakinan dia seorang yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Malangnya emak tidak setuju perhubungan ini. Sikap ibu amat keras, menyebabkan saya merajuk, tidak bertegur sapa dengannya biarpun tetap duduk serumah.

Saya mahu hubungan ini tidak gagal. Kadang-kadang saya mahu merancang agar kami ditangkap basah. Dia mempunyai perasaan, ada nafsu dan begitu serasi lagi bertimbang rasa. Saya takut sesuatu yang buruk berlaku ke atas kami kerana kami sama-sama muda. Bagaimana hendak mengatasi masalah ini?

– Seri Mersing

JAWAPAN: Menurut syariat Islam, ada beberapa syarat yang mesti dipenuhi untuk berkahwin, iaitu ada lelaki, perempuan, wali, lafaz atau sighah mengandungi lafaz ijab dan kabul dan dua saksi. Rujuklah Rukun Nikah dalam kitab-kitab fiqah.

Kalau saudari rujuk hadis-hadis, ternyata sebahagian urusan berkaitan perkahwinan itu sering dirujuk kepada pihak lelaki, iaitu sifat-sifat perempuan macam mana yang selayaknya dipilih untuk dijadikan pasangan.

Dalam sebuah hadis, baginda bersabda menyatakan, perempuan itu dikahwini kerana empat perkara, iaitu kecantikannya, keturunannya, hartanya atau agamanya. Pilihlah yang beragama agar selamat dirimu. - Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Seorang lelaki memilih isteri berdasarkan kepada sifat-sifat yang dijelaskan. Walaupun demikian masalah agama mesti dititikberatkan. Rasulullah memberi amaran bahawa sekiranya seseorang itu mengahwini seorang perempuan kerana hartanya, Allah tidak menambahkan kepadanya kecuali, kefakiran.

Barangsiapa berkahwin kerana keturunannya, Allah akan menjadikannya hina. Namun andainya seseorang itu berkahwin untuk menundukkan pandangannya, membentengi nafsunya atau untuk menyambung persaudaraan, Allah akan memberi keberkatan padanya, begitu juga kepada perempuan yang dikahwini. – Hadis riwayat Ibn Hibban.

Sebaik-baik perempuan yang hendak dikahwini itu ialah perempuan yang menyenangkan apabila dipandang, apabila disuruh, ia patuh, apabila diberi janji, janji itu diterima dengan baik dan apabila si lelaki berpemergian, dirinya dan harta kamu dijaganya dengan baik. – Hadis riwayat an-Nasaiy.

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda menyatakan, wanita yang terbaik ialah mereka yang pandai menunggang unta. Perempuan Qurasy yang baik ialah yang pandai menyanyi anak-anak semasa kecil, juga pandai mengurus harta suami. Hadis ini bermaksud perempuan baik termasuklah yang rajin bekerja dan pandai mengurus.

Seorang sahabat pernah meminang seorang wanita mandul, lalu dia bertanya Rasulullah. Baginda menjawab: “Kahwinilah perempuan yang mencinta lagi berupaya beranak banyak, maka sesungguhnya aku bangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain pada hari kiamat .”

Hadis-hadis di atas, biarpun kata-katanya (khitab) dirujuk kepada kaum lelaki, namun ia juga perlu diperhatikan oleh wanita ketika memilih suami. Jangan dipilih yang handsome semata-mata berpangkat tinggi dan berketurunan. Rasulullah memberi amaran kemungkinan-kemungkinan buruk yang akan berlaku apabila seseorang itu memilih jodoh dengan membelakangkan agama.

Walaupun demikian, dalam memberi contoh atau sifat pasangan yang mesti dipilih, seseorang itu memang sukakan yang cantik, malah cantik itu sebenarnya tidak mempunyai kayu ukur secara pasti, kerana selera dan minat seseorang itu berbeza. Itulah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah. Apabila perkahwinan itu memenuhi syarat-syarat yang dijelaskan, maka perkahwinan itu sah. Walaupun demikian kufu ataupun kafaah di antara pasangan itu juga perlu diperkira.

Ada golongan yang memandang kafaah itu berdasarkan kecantikan, kekayaan, pangkat, keturunan dan lain-lain, tetapi kufu yang sebenar ialah dari segi keimanan dan takwa. Allah s.w.t berfirman, seperti yang tersebut dalam surah al-hujurat: 13, bermaksud: Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.

Abu Hind seorang tukang bekam, yang dianggap hina oleh kabilah Bayadhah, namun Rasulullah menggalakkan agar kabilah Bayadhah berkahwin dengan puteri Abu Hind, seperti tersebut dalam hadis bermaksud: Wahai Bani Bayadhah, kahwinlah perempuan-perempuan kamu dengan Abu Hind dan kahwinlah perempuan-perempuannya. – Hadis Abu Daud.

Berdasarkan keterangan di atas jelas terbukti bahawa saudari mempunyai alasan kukuh untuk berkahwin lelaki yang saudari maksudkan, biarpun orang asing dari luar.

Jangan bimbang atau mengungkit-ungkit sama ada lelaki ini manusia seperti kita atau tidak. Tentunya dia juga bernafsu, kalau tidak, masakan dia mahu mengahwini saudari. Saudari mempunyai asas kukuh untuk berkahwin dengannya dan begitu menyintainya. Saudari rela merancang ditangkap basah asal dapat kahwin ataupun kahwin lari. Dan apabila hasrat saudari “dihalang” ibu , saudari memberontak, memandang ibu sebagai musuh dan tidak bertegur sapa biarpun duduk dalam sebuah rumah.

Kasih sayang bertukar menjadi benci. Benci kepada manusia yang pernah mengandung saudari selama sembilan bulan, orang yang menyusukan saudari. Bersengkang mata, menjaga saudari ketika demam, sakit di malam hari. Saudarilah pengubat jiwanya,

Ibu atau bapa yang waras akan mencarikan jodoh yang terbaik menurut pandangan mereka, lebih-lebih lagi untuk anak perempuannya. Rasulullah bersabda bermaksud: Barangsiapa mengahwinkan saudara perempuannya dengan lelaki fasik, bererti dia telah memutuskan tali keluarganya. – Riwayat Ibn Hibban.

Mungkin juga saudari telah bersahabat dengan beberapa orang lelaki tempatan. Mungkin berjumpa lelaki yang berjanji hendak berkahwin, tetapi tidak datang meminang. Mungkin ada teman tidak bertahan lama sebab-sebab tertentu. Akhirnya saudari bertemu teman sejati sekarang, yang saudari fikir adalah terbaik .

Dalam mengatasi masalah ini saudari perlu meyakinkan ibu saudari yang lelaki ini adalah pasangan yang baik, boleh menjamin masa depan saudari, tentang amalan agamanya, latar belakang dan pekerjaannya.

Kalau saudari melihat buku: Satu analisa mengenai murtad yang saya tulis berdasarkan kajian dilakukan, saudari akan mendapati di kalangan anak yang bermasalah tentang agamanya ialah mereka yang lahir dari perkahwinan melibatkan orang luar.

Suaminya tidak mempunyai latar belakang agama begitu juga dengan isteri yang terdiri daripada orang tempatan. Apabila berlaku perceraian dan si suami balik ke negeri asal, anak hasil perkahwinan itu terbiar.

Biar dalam apa keadaan sekalipun, saudari perlu ingat amaran Rasulullah agar setiap orang yang beriman agar jangan duduk menyendiri dengan perempuan tanpa disertai oleh muhrimnya, kerana yang menjadi orang ketiga ketika itu ialah syaitan.

Saudari perlu bertindak bijak agar ibu tidak sedih atau kesal. Jangan selalu berdua-duaan dengannya kerana marahkan ibu yang tidak suka hubungan saudari. Terlalu malang kalau saudari kehilangan kasih ibu dan dalam masa yang sama kehilangan maruah diri.

PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

No comments: