Sunday, July 1, 2007

Jasad tidak reput

Oleh MOHD. YUSOF ABAS

SOALAN: SAYA dengar ada cerita mengatakan tubuh badan orang yang mati syahid tidak reput dimakan tanah.

Adakah cerita itu benar kerana saya lihat mereka yang terbunuh di Palestin terutama di khemah- khemah pelarian yang menjadi mangsa kepada pembunuhan kejam Israel, jasad mereka ramai yang hancur dan reput.

– Mohd Subari Sulaiman,

Dengkil, Selangor.

JAWAPAN: Menurut ulama, berdasarkan nas-nas yang diketahui lagi jelas, hanya jasad para Nabi dipelihara dari dimakan bumi. Ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: Allah s.w.t. mengharamkan jasad para Nabi dari reput dan hancur dimakan oleh bumi (riwayat Nasai, Ibnu Majah dan lain- lain). Sedangkan orang lain kalaupun ada kelebihan tertentu, maka ianya sebagai suatu keistimewaan dan tidak pasti berlaku kepada semua orang. Sebab itu banyak kita dengar berita, mereka yang menghafal al-Quran juga ada sesetengahnya tidak reput dimakan tanah. Ini adalah keistimewaan mereka yang dipilh-Nya sahaja. Justeru itu banyak riwayat yang sampai kepada kita mengenai kelebihan tertentu yang berlaku kepada para syuhada di kalangan para sahabat Rasulullah. Di antaranya seperti bapa saudaranya, Hamzah yang dicincang badannya tetapi bila digali kawasan perkuburannya di tepi Bukit Uhud untuk mengalirkan saluran mata air selepas 40 tahun semasa pemerintahan Muawiah, badannya ditemui masih elok dan kakinya yang terkena alat penggali masih berdarah (riwayat al- Baihaqi).

Begitu juga Abdullah ayah Jabir sebagaimana diceritakan oleh Jabir yang mengeluarkan ayahnya dari kubur selepas enam bulan pengebumiannya. Dia dapati tubuh badan ayahnya itu masih elok kecuali telinganya sedikit terjejas. Demikian juga jasad para sahabat lain yang gugur dalam Perang Uhud. Apabila air mengalir dan membongkar kubur mereka, tubuh badan mereka kelihatan masih baik dan tidak reput. Kita perlu faham bahawa ini semua adalah keistimewaan yang dikurniakan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-Nya. Walau bagaimanapun sekiranya didapati ada jasad yang hancur dan sebagainya daripada kalangan para syuhada dan huffaz tetapi keadaan ini tidaklah menjatuhkan darjat mereka kerana tidak syak lagi mereka itu adalah kebanggaan ummah dan agama. Firman Allah bermaksud: Jangan kamu sangka mereka yang terbunuh pada jalan Allah itu sebagai orang mati (percuma) malah mereka tetap hidup lagi mendapat rezeki (yang mewah) di sisi Tuhan mereka (al-Imran ayat169). Wallahualam.

Erti makruf dan mungkar

SOALAN: APAKAH yang dimaksudkan dengan makruf dan mungkar supaya senang kita bertindak mencegah yang mungkar dan menyuruh yang makruf?

– Mohamed Kamil, Sandakan,Sabah.

JAWAPAN: Perkara makruf ialah segala perbuatan kebajikan yang disenangi semua termasuk segala amalan ketaatan kepada Allah dan khidmat bakti dan kecemerlangan yang dilakukan kerana Allah atau segala amalan baik yang dilakukan untuk mengikuti Nabi besar kita. Perkara mungkar pula ialah setiap amalan yang dilarang dan tidak disuruh Allah dan Rasul-Nya.

Para ulama bersepakat mengenai anjuran agama tentang menyuruh dengan makruf dan mencegah yang mungkar sebagaimana firman-Nya bermaksud: Hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang bertugas mengajak kepada melakukan kebaikan dan menyuruh melakukan kebajikan serta melarang dari melakukan perkara mungkar ,mereka itulah orang yang berjaya (surah al- Imran ayat 104). Ini juga selaras dengan sabda Nabi bermaksud: Siapa yang melihat di kalangan kamu perkara mungkar hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya) sekiranya tidak berkuasa maka ubahkanlah dengan lidahnya (nasihat, teguran, aduan atau laporan) dan kalau tidak mampu juga maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman (riwayat Muslim). Imam Ghazali pernah menegaskan bahawa amar makruf dan nahyu mungkar adalah asas agama dan tujuan risalah para Rasul. Sekiranya tugas tersebut ditinggalkan maka gagallah hikmat risalah yang diutuskan dan sia-sialah peranan agama yang maha suci. Sedangkan majoriti ulama mengatakan tugas tersebut fardu kifayah. Apabila ada mereka yang dapat memenuhi keperluan umat, gugurlah dosanya dari seluruh anggota masyarakat. Malah kata sesetengah ulama, ianya (urusan tersebut) adalah fardu ain yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu muslim di tempat yang tidak ada mereka yang dapat melakukannya. Manakala yang lain ada mengatakan urusan amar makruf dan nahyu mungkar adalah wajib pada perkara wajib dan sunat pada perkara sunat. Wallahualam.

Suami pendiam

SOALAN: SUAMI saya seorang yang salih dan bertanggungjawab lagi penyayang dan sentiasa menjauhkan diri dari perkara yang haram. Sikapnya sangat pemurah terhadap saya serta anak-anak. Cuma kelemahannya iaitu susah hendak bercakap atau bermesra dengan kami kerana dia juga seorang yang sangat pendiam. Bagaimana untuk memperbaiki sikapnya?

– Maznah Ali,

Taman Keramat, Kuala Lumpur.

JAWAPAN: Pertama sekali tahniah terhadap anda yang dikurniakan suami yang baik. Sudah tentu ramai wanita yang iri hati dengan anda kerana suami anda adalah impian mereka selama ini. Ada sesetengah wanita mendapat suami yang pemabuk, penagih dan mulut celupar, bising terutama bila anda keluar rumah kerana menziarahi ibu bapa dan keluarga sendiri. Menjawab persoalan puan, manusia perlu matang dan waras dalam pertimbangannya sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Jangan sesiapa membenci mukmin (pasangannya) sekiranya dibencinya satu sikap tertentu, pasti disukainya dengan sikapnya yang lain. Pesanan ini ditujukan kepada semua mukmin terutama pasangan suami isteri yang ingin menyelamatkan rumah tangga yang bahagia. Anda perlu berpuas hati dan bersyukur kepada Allah di samping berusaha mendoakannya supaya lebih bertimbang rasa dan bertanggungjawab. Pendekatan yang perlu dilakukan ialah cuba memulakan perkara yang anda ingin supaya dilakukan oleh suami Mulakan dengan memuji kebaikannya. Contohnya memberi kata-kata manis serta pujian seperti “Adakah abang sedar bahawa abang adalah seorang yang baik lagi saleh?”

Sudah tentu lama-kelamaan anda akan dapat mendengar dari mulutnya perkataan yang manis-manis. Dia pastinya bangga dan terharu dengan pujian tersebut. Kalau dapat tambah lagi kata-kata sanjungan. Apabila dia sudah seronok, selitkan kata-kata nasihat atau teguran. Bila anda lakukan ini saya percaya suami anda pasti ingin mengetahui apakah yang menjadi idaman anda. Waktu itu bisikkan kepadanya segala idaman tersebut. Sekiranya diamalkan ajaran Rasulullah di atas dengan melahirkan sifatnya yang baik insya-Allah suami anda akan lebih lagi memperbaiki kelemahannya dan itulah sikap orang yang baik dan mulia. Wallahualam.

ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.


1/7/2007

No comments: